MAAFKAN Aku Ayah...




Kelihatan sebuah kereta nasional meluncur megah memakan kilometer demi kilometer di sebuah kampung Melayu. Seorang lelaki tua melihat kereta tersebut dari kejauhan. Dia tidak dapat meneka siapakah gerangannya dalam kereta tersebut sehinggalah kenderaan itu berhenti di hadapan rumahnya. Pintu kereta itu dibuka...

"Ayah. Maafkan Amin kerana lambat." Turun seorang pemuda menuju ke pangkuan ayahnya, mencium tangan ayahnya tanda hormat kepada orang tuanya itu.

Ayahnya tidak berkata apa-apa. Hanya terdiam seketika. Suasana sunyi dikekalkan. Hanya bekalan suara dari kicauan burung-burung sahaja yang menemani mereka.

"Nak, bapa ingin lihat kamu memakai Mitsubishi Lancer Evolution X. Kenapa kamu pulang dengan Inspira?" Tanya ayahnya tanda sedikit kecewa. 


"Ah, maafkan Amin, ayah. Amin tak mampu."

Kedutan tua jelas kelihatan pada raut wajah ayahnya itu. Cahaya mahatari menyinari kedutan yang terdapat pada wajah seorang bapa. Suasana bagaikan sunyi kembali.

“Ayah ingat kamu pergi bekerja di ibu kota, mampulah kamu membeli kereta tersebut….”

“Ayah, bukan semestinya bekerja di kejauhan, Amin mampu membeli kereta yang ayah harapkan itu.”

“Ayah masih ingat, ketika atuk kamu masih muda, ayah buktikan kejayaan ayah padanya dengan membeli kereta Mitsubishi Evolution 8. Alangkah cepatnya masa berlalu. Ketika itu kamu masih kecil. Tiada bekata. Namun ayah meletakkan harapan, bahawa kamu meneruskan legasi atuk kamu yang betul-betul sukakan Lancer Evolution. Sekarang, ianya hampir terlambat. Mitsubishi Evolution X adalah yang terakhir dalam generasi itu, nak…”

Kata-kata bapanya menusuk jauh ke dalam lubuk hatinya. Kelihatan titisan Kristal air mata seorang anak jatuh meluncur di pipinya. Terasa kata-kata bapanya begitu menikam hatinya.

“Tak apalah. Mungkin, adik kamu akan meneruskan legasi ini juga, tak apalah Amin, pergi masuk. Kamu kelihatan letih.”

Tanpa sepatah kata, Amin menuju masuk ke dalam rumahnya. Kelihatan susunan gambar bapanya, dan juga atuknya bersama-sama kereta Mitsubishi Lancer sejak dari generasi pertama kereta tersebut. Amin mengambil keputusan, dia harus lakukan sesuatu. Beliau mengambil kad ATM untuk keluar bersama-sama dengannya di pagi yang indah tersebut. Menuju ke pekan, mencari bank untuk mengeluarkan sejumlah wang yang dirasakan, mampu menggembirakan hati ayahnya.

Petang tersebut, Amin keluar bersama-sama rakannya. Rindu yang kian lama dihimpun ketika beliau bekerja seorang diri di ibu kota, telah terubat akhirnya.
“Kah-kah-kah!! Kau pakai Inspira, Amin?! Mati-mati aku ingatkan kau pakai Lancer tadi!”

Amin terkejut. Tidak disangkakan olehnya, bahawa rakannya dapat mengenali juga kereta Inspiranya. Baginya, penukaran body-kit kereta tersebut adalah kelihatan kemas dan sempurna. Orang lain akan terus menyangkakan yang kereta tersebut ialah Mitsubishi Evo X dan bukan Proton Inspira.

Amin diperli dan digelak ketawa oleh rakan-rakannya pada petang tersebut. Air matanya bergelinang. Apa yang ingin dia lakukan hanyalah ingin menggembirakan hati bapanya sahaja. Tiadalah niat lain di hati Amin untuk menunjuk-nunjuk ataupun menjadi ‘wanna-be’. Amin tetap bersabar. Sesungguhnya hari-hari yang mendatang, akan menjadikan dia seorang yang kuat dan tabah.

KARYA SEBENAR: FAIZ HAKIMI